Dr Chong ketika memeriksa harga barangan di Pasar Awam Maharani, di sini, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Dr Chong ketika memeriksa harga barangan di Pasar Awam Maharani, di sini, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


SERAMAI 32 peniaga di Johor dikompaun sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMPHRP) 2020 sejak 20 Mei sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Chong Fat Full berkata, kompaun keseluruhan berjumlah RM43,000 itu dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (ALHAP) 2011.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melakukan 79 pemeriksaan di peringkat pemborong dan 2,650 pemeriksaan di peringkat peruncit.

"Sebanyak 29 kes adalah kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

"Manakala tiga kes dengan kesalahan gagal mematuhi Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan, katanya ketika sidang media Operasi SHMMPHRP 2020 di Pasar Awam Maharani di Muar, hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP Johor menerima enam aduan berkaitan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan dan siasatan mendapati tiga premis dikompaun kerana kesalahan tidak mematuhi Seksyen 11 (AKHAP) 2011.

Manakala tiga lagi aduan selesai selepas siasatan mendapati mereka sudah mematuhi undang-undang.

Sementara itu, tinjauan ke atas 160 premis di Pasar Awam Maharani Muar yang terdiri daripada peniaga ayam, ikan dan sayuran mendapati mereka mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 2:48 PM