FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


KEPUTUSAN untuk membenarkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sama ada milik kerajaan negeri atau swasta beroperasi di Terengganu dijangka diketahui pada Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ia akan diumumkan selepas mendapat persetujuan daripada Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas mesyuarat mingguan Exco yang akan diadakan Rabu ini.

"Esok, kita akan mengadakan mesyuarat persediaan operasi taska bersama-sama pihak berkaitan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.

"Segala keputusan termasuk berkaitan peraturan, tarikh, bilangan taska yang akan beroperasi, jumlah anak yang diterima dan sebagainya akan dibawa ke mesyuarat mingguan Exco pada Rabu ini.

"Kita akan bincangkan perkara ini dan keputusan sama ada boleh beroperasi atau sebaliknya akan diputuskan pada Rabu ini dengan operasi setiap taska ini berpandukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan MKN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Hanafiah, kerajaan negeri sedia maklum ibu bapa terutama yang perlu bertugas sebagai barisan hadapan mula bekerja tanpa jadual giliran dan berdepan kesukaran mencari pengasuh dan terdesak menghantar anak masing-masing ke taska.

"Kita faham kekangan mereka namun kita perlu mengambil kira tanggungjawab dan pelbagai perkara penting sebelum membenarkan taska beroperasi seperti biasa memandangkan kanak-kanak ini adalah golongan yang berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:33 PM