KANAK-KANAK di Taska Permata Keluarga YPK diajar mematuhi penjarakan sosial. FOTO GHAZALI KORI
KANAK-KANAK di Taska Permata Keluarga YPK diajar mematuhi penjarakan sosial. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


SELEPAS hampir tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19, sebanyak 151 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Terengganu mula beroperasi hari ini dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak barisan hadapan.

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ia membabitkan 64 Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)milik kerajaan negeri dan 87 taska swasta.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta taska perpaduan belum dibuka dan masih menunggu arahan lanjut.

"Jika diikutkan, terdapat 67 Taska Permata YPKT namun hanya 64 dibuka kerana tiga lagi iaitu satu di Kuala Berang dan satu di Pengadang Baru mengalami masalah gangguan bekalan elektrik manakala sebuah lagi taska di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sedang menunggu arahan daripada Kementerian Kewangan dan ia akan dibuka sebaik isu berbangkit selesai.

"Daripada segi bilangan guru di YPKT pula, terdapat seramai 818 orang termasuk pembantu manakala anak-anak yang berdaftar di YPKT pada tahun ini adalah seramai 4,400 orang daripada 3,561 keluarga.

"Bagaimanapun, hari ini, hanya 718 kanak-kanak diterima masuk selepas perbincangan bersama ibu bapa dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa yang perlu bekerja secara berpasangan serentak dan tiada penjaga," katanya selepas melakukan lawatan di Taska Permata YPK Kuala Terengganu hari ini.

Hanafiah berkata, pembukaan taska di Terengganu berpandukan kepada arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menjangkakan kemungkinan akan ada kelonggaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos depan.

Katanya, jika ada kelonggaran, pihaknya akan menjemput lebih ramai ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke taska.

"Berdasarkan lawatan hari ini, saya berpuas hati dengan kepatuhan pemilik taska yang mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang mana kita menggalakkan mereka ini supaya mengurangkan aktiviti permainan kanak-kanak sebaliknya lebih banyak menonton televisyen dan tidur atau berehat.

"Pemantauan akan dilakukan setiap hari oleh pasukan khas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum laporan itu akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 11:57 AM