LALUAN Kampung Tun Sardon yang dikatakan menjadi laluan tikus bagi mereka ingkar dengan arahan larangan merentas negeri. FOTO IHSAN FACEBOOK
LALUAN Kampung Tun Sardon yang dikatakan menjadi laluan tikus bagi mereka ingkar dengan arahan larangan merentas negeri. FOTO IHSAN FACEBOOK
Nor Farhani Che Ad


JALAN masuk ke Kampung Tun Sardon di sini ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan kenderaan yang tidak mempunyai surat rentas negeri dari negeri lain memasuki kampung berkenaan.

Menurut sumber, kampung menghubungkan daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah itu ditutup Jabatan Kerja Raya daerah Kulim selepas perbincangan dengan polis.

"Untuk makluman semua masyarakat Kampung Tun Sardon dan Kampung Seberang Sungai, jalan masuk ke Kampung Tun Sardon ditutup sepenuhnya.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan atas pengaduan penduduk kampung yang tidak selesa dengan kenderaan yang memasuki kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif iaitu bagi penduduk Kampung Tun Sardon sebelah Lunas, Kedah boleh keluar melalui jalan yang sedia ada ke pekan dan untuk keluar daerah.

"Bagi penduduk Kampung Tun Sardon sebelah Pulau Pinang, boleh keluar di jalan sebelah yang menghala ke jalan Ara Kuda untuk ke sebarang destinasi.

"Bagaimanapun, setiap penduduk melalui laluan berkenaan perlu memastikan mempunyai surat rentas," katanya.

Sebelum ini, laluan itu tular selepas dikatakan menjadi laluan tikus bagi mereka ingkar dengan arahan larangan merentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 8:09 PM