SUPRINTENDAN Azhar Hashim melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui SJR di Kulim. FOTO ihsan PDRM
SUPRINTENDAN Azhar Hashim melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui SJR di Kulim. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Sebanyak 18 kenderaan yang mencuba nasib untuk merentas daerah tanpa surat kebenaran diarah berpatah balik di empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, kebanyakan mereka memberi alasan tidak munasabah seperti menghantar barang, melawat keluarga dan membeli barang di daerah lain.

Menurutnya, alasan yang diberikan tidak diterima menyebabkan mereka diarah berpatah balik ke kawasan masing-masing.

"Kenderaan yang diarah berpatah balik membabitkan SJR Jalan Junjung, Jalan Sidam Kanan, Jalan Ekor Kucing dan Jalan Serdang dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 ke daerah ini.

"Kita akan mengetatkan pemeriksaan di daerah Kulim berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada tengah malam ini," katanya dalam kenyataan, di sini.

Azhar berkata, pemantauan di laluan tikus pula dilakukan tiga ke empat kali sehari dan pasukan pemantau juga diarah melakukan rondaan secara berkala.

Menurutnya, seramai 20 pegawai dan 80 anggota digerakkan setiap hari untuk memantau dan memastikan kawasan tumpuan utama berada dalam keadaan terkawal.

"Pemeriksaan ketat dilakukan di empat SJR bersempadan dengan Pulau Pinang menjadi keutamaan dalam memastikan semua yang keluar masuk mempunyai surat kebenaran rentas negeri dan daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 5:25 PM