Amirul Aiman Hamsuddin


POLIS sudah merakam keterangan 33 individu berhubung kejadian tular membabitkan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Serdang, semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya melakukan siasatan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Setakat ini, kami sudah merakam 18 keterangan daripada saksi termasuk pengerusi kuil dan 15 lagi saksi daripada kalangan pengantin yang hadir.

"Kes masih disiasat dan kita akan merujuknya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya.

Beliau ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, video berdurasi satu minit yang memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di kuil terbabit, tular di media sosial.

Kejadian disedari orang awam yang memandu di kawasan itu dan melihat deretan kereta di hadapan kuil manakala orang ramai berkumpul di dalam kuil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:48 PM