Noorazura Abdul Rahman


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan notis tunjuk sebab kepada tujuh peniaga ayam di Kedah, semalam dan hari ini, selepas didapati menaikkan harga ayam pada kadar tidak munasabah.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, notis tunjuk sebab itu perlu dijawab dalam tempoh tiga hari bermula daripada tarikh notis dikeluarkan.

Katanya, kenaikan harga ayam sejak beberapa hari lalu adalah tidak wajar berikutan bekalan bahan mentah itu mencukupi.

"Notis itu dikeluarkan kepada peniaga ayam di negeri ini sejak semalam, kami siasat pihak mana yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam menjelang Aidilfitri.

"Selain permintaan ayam yang semakin meningkat, mereka ini juga mahu mengambil keuntungan awal sebab mereka tahu kerajaan akan menetapkan harga siling selepas ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, petang hari ini.

Rosol, berkata pihaknya turut memberi amaran agar peniaga tidak sesuka hati menaikkan harga barang berikutan semua bekalan bahan mentah seperti telur, sayur-sayuran, daging dan kelapa dijamin mencukupi semasa musim perayaan.

Katanya, sehingga kini pihaknya belum menerima aduan mengenai kenaikan harga bahan mentah berkenaan dan meminta orang ramai membuat laporan segera agar tindakan segera dapat diambil.

"Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita membuat pemantauan secara berterusan, sesiapa sahaja diharap jangan ambil kesempatan semasa rakyat sedang susah berdepan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Rosol memberitahu harga bawang kembali ke paras normal apabila ia dijual antara RM3 hingga RM5 sekilogram berbanding RM13 sekilogram sebelum ini.

Hari ini, dilaporkan harga ayam di Kedah meningkat sejak seminggu lalu apabila peniaga terpaksa menaikkan harga ayam antara RM8 ke RM9.50 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati, kenaikan mendadak itu berlaku berikutan modal yang dikeluarkan peniaga tinggi selepas pembekal memaklumkan kekurangan bekalan ayam disebabkan PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 7:12 PM