TIMBALAN Ketua Misi Kedutaan Malaysia ke Rusia, Johan Ariff Abdul Razak dibantu Persatuan Pelajar Malaysia Sechenov (SMSA) menyampaikan makanan, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka kepada pelajar Malaysia yang tinggal di asrama.
TIMBALAN Ketua Misi Kedutaan Malaysia ke Rusia, Johan Ariff Abdul Razak dibantu Persatuan Pelajar Malaysia Sechenov (SMSA) menyampaikan makanan, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka kepada pelajar Malaysia yang tinggal di asrama.
Murnaena Muhammad Nasir


RISAU, murung dan sedih. Demikian perasaan penuntut Malaysia yang mahu keluar dari Rusia yang kini berada di kedudukan empat teratas dunia dalam statistik jangkitan wabak Covid-19.

"Kami mahu pulang ke tanah air. Keadaan di sini (Rusia) tidak selamat dan kami risau dijangkiti dengan jumlah kes baharu Covid-19 melebihi 10,000 setiap hari sejak minggu lalu," kata penuntut bidang perubatan di Universiti Sechenov, Moscow, Marveen Raj Ravintharan, 23.

Katanya, dia berharap kerajaan membawa mereka pulang seperti usaha dilakukan kepada penuntut dan rakyat Malaysia di Itali, Iran, India dan Indonesia.

Dia yang juga Ketua Kebajikan Persatuan Pelajar Malaysia Sechenov (SMSA), berharap kerajaan mendengar suara dan rintihan penuntut yang ingin pulang ke pangkuan keluarga dalam tempoh pandemik ini.

"Penuntut dan ibu bapa ada menghantar emel kepada Kedutaan Malaysia, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai permohonan penerbangan pulang penuntut di sini.

"Kami sedih dengan jawapan kerajaan melalui siaran di Facebook rasmi Wisma Putra Rabu lalu yang menasihatkan rakyat Malaysia termasuk penuntut universiti di Rusia supaya kekal di sini.

"Masih ada peluang untuk pulang tetapi perlu menaiki pesawat sewaan khas dengan kos tinggi dianggarkan hampir RM6,000 seorang iaitu tiga kali ganda harga tiket biasa," katanya.

Marveen berkata, Kedutaan Malaysia di Rusia sudah merancang mahu menguruskan membawa pulang rakyat Malaysia namun sebarang keputusan adalah hak mutlak kerajaan.

Bercerita mengenai peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di Rusia, Marveen berkata, ambil mudah dan tidak peduli rakyat tempatan antara penyumbang kenaikan wabak berkenaan.

"Melalui pemerhatian saya, warga tua dan kanak-kanak terutamanya antara golongan yang tidak mengambil wabak pandemik ini secara serius. Warga tempatan masih lagi berkumpul, beriadah dan pergi bercuti.

"Situasi ini membimbangkan saya kerana risiko jangkitan tinggi memandangkan kami tinggal di Moscow iaitu bandar yang mempunyai kes paling tinggi di Rusia.

"Pelajar Malaysia yang tinggal di rumah sewa beramai-ramai dengan pelajar antarabangsa lain lebih terdedah kerana mereka terpaksa keluar membeli makanan di pasar raya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai sekatan pergerakan di Rusia, Marveen yang tinggal di rumah sewa bersama rakannya berkongsi sangat sukar untuk meneruskan kehidupan apatah lagi jauh dari keluarga tercinta.

"Dua minggu sekali saya akan pergi membeli keperluan harian di pasar raya dan semakin hari barang semakin mahal iaitu dua kali ganda harga biasa. Pelitup muka dan sarung tangan sukar didapati, jika ada harganya sangat mahal.

"Penuntut Muslim juga sukar mendapatkan makanan halal apatah lagi sekarang mereka sedang berpuasa sehingga 17 jam mengikut waktu Rusia. Ada penghantaran makanan halal 'online' tetapi mahal.

"Kewangan saya masih mencukupi, tetapi bagi yang kurang berkemampuan pasti terkesan," katanya.

Terkini, pegawai kesihatan melaporkan, Rusia mencatatkan 11,656 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes 221,334, dengan 2,009 kematian.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menyatakan perintah berkurung di ibu negara Rusia itu akan dipanjangkan sehingga 31 Mei selepas negara itu melaporkan peningkatan jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 3:48 PM