AHMAD Sharifi mengemas pakaiannya untuk bersiap pulang ke tanah air, Jumaat ini . FOTO Ihsan Ahmad Sharifi
AHMAD Sharifi mengemas pakaiannya untuk bersiap pulang ke tanah air, Jumaat ini . FOTO Ihsan Ahmad Sharifi
Murnaena Muhammad Nasir

KEGEMBIRAAN jelas dirasai 260 penuntut institusi pengajian tinggi di Rusia apabila kerajaan membenarkan mereka pulang ke tanah air melalui pesawat penerbangan khas, Jumaat ini.

Peluang ini sekali gus memberikan nafas lega kepada ibu bapa yang risau kesihatan anak mereka di negara kedua teratas kes jangkitan Covid-19 iaitu dengan hampir 10,000 kes direkodkan setiap hari.

Bagi penuntut beragama Islam, usaha kerajaan dan kedutaan Malaysia di Rusia ini amat dihargai kerana ia sekali gus membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta walaupun bukan pada raya pertama.

Penuntut perubatan Universiti Sechenov, Moscow, Ahmad Sharifi Shahidan, 21, berkata, dia bersyukur dapat pulang dan berterima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia serta kerajaan Rusia yang menguruskan penerbangan pulang rakyat Malaysia.

"Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat ini, kami akan membuat pemeriksaan kesihatan dan akan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin disediakan kerajaan.

"Sejujurnya saya berasa agak sedih tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada raya pertama namun mencegah penularan wabak Covid-19 harus menjadi keutamaan," katanya.

Menurut Ahmad Sharifi yang berasal dari Kuala Batas, Pulau Pinang itu, ibu bapa dan seluruh keluarganya bersyukur dan lega selepas dimaklumkan kebenaran pulang dia dan rakyat Malaysia di Rusia.

"Perasaan berada dekat dengan keluarga sudah cukup mengubat kerinduan saya kepada keluarga walaupun belum boleh berjumpa.

"Saya akan membuat panggilan video kepada keluarga di pagi raya dan membayangkan seolah-olah berada di kampung halaman," katanya.

Bagi Nur Hidayah Musa, 23, juga penuntut di universiti sama, dia bersyukur dan gembira akhirnya dapat pulang ke tanah air.

"Sebelum ini saya risau kerana ramai yang berpendapat kemungkinan kami tidak dapat pulang ke Malaysia tahun ini malah kerajaan (pada mulanya) turut menasihatkan kami tinggal di Rusia.

"Tiada masalah untuk menjalani kuarantin selama 14 hari kerana saya rasa perkara itu perlu dilakukan sebelum berjumpa dengan keluarga tersayang demi kesihatan mereka," katanya.

Anak keempat dari lapan adik beradik itu berkata, tidak dapat bersama keluarga di hari raya pertama adalah perkara biasa kerana sebelum ini dia sering beraya di perantauan.

"Sambutan Aidilfitri kali ini pasti berbeza yang bukan sahaja dirasai kami yang perlu jalani kuarantin malah semua umat Islam di seluruh dunia. Diberi peluang pulang ke tanah air sudah cukup bermakna bagi saya," katanya.

Selain itu, rakan Hidayah, Adelynna Shaqeeraz Azhar, 24, berkata, kepulangan dia dan adik yang juga belajar di Moscow sememangnya dinanti kedua ibu bapa.

"Mereka risau keadaan kami (di Rusia). Mereka tidak sabar menunggu kepulangan saya dan adik.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan proses membawa kami pulang ke Malaysia," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan rintihan penuntut di Rusia yang mahu pulang dan bersama keluarga dalam situasi genting tetapi kerajaan mengambil tindakan supaya mereka kekal di negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 8:55 PM