FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
AFP

Moscow: Rusia mencatatkan rekod kematian tertinggi akibat Covid-19 dengan 852 individu dilaporkan maut dalam tempoh 24 jam.

Ia dipercayai berpunca daripada varian Delta dan pemberian vaksin yang perlahan.

Angka berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus itu mencecah 205,531 iaitu yang tertinggi di Eropah.

Di bawah definisi lebih meluas mengaitkan kematian dengan Covid-19, agensi statistik Rosstat melaporkan pada hujung Ogos lalu, Rusia menyaksikan lebih 350,000 kematian.

Rusia, negara kelima yang mencatatkan jumlah jangkitan paling teruk dunia dengan lebih tujuh juta kes, menyaksikan peningkatan kes baru sejak bulan lalu selepas pemberian vaksin semakin perlahan.

Moscow yang menjadi pusat wabak merekodkan peningkatan sejak minggu lalu dengan pihak berkuasa memberi amaran pertambahan jumlah kemasukan ke hospital.

Timbalan datuk bandar, Anastasia Rakova berkata, varian Delta kini menjadi dominan dalam semua kes baru yang dilaporkan.

Pihak berkuasa perlu berdepan penduduk yang enggan menerima vaksin, dengan undian menunjukkan sebahagian besar warga Rusia tidak merancang untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Kremlin sebelum ini meletakkan sasaran untuk memberi pelalian kepada 60 peratus penduduk Rusia menjelang September, namun menurunkan sasaran itu walaupun suntikan percuma boleh didapati sejak awal Disember tahun lalu.

Setakat ini, hanya 28 peratus penduduk sudah menerima vaksin lengkap, menurut laman web Gogov.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:18 PM