SEORANG penumpang tram memakai pelitup muka ketika cuaca sejuk di Moscow. FOTO AFP
SEORANG penumpang tram memakai pelitup muka ketika cuaca sejuk di Moscow. FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia mencatatkan kes jangkitan Covid-19 melepasi angka empat juta hari ini selepas beberapa hari negara itu mengemas kini angka kematian akibat virus itu, menjadikannya antara negara paling teruk terjejas.

Angka yang dicatatkan kerajaan menunjukkan jangkitan mencapai 4,012,710 individu, meletakkan negara itu di tempat keempat di belakang Amerika Syarikat (AS), India dan Brazil.

Sebelum ini, Rusia dikecam kerana nisbah statistik rasmi dengan jumlah kematian yang dinyatakan kerajaan iaitu 78,134 kematian, didapati tidak selaras.

Angka yang dikeluarkan agensi statistik Russia, Rosstat, Isnin lalu menunjukkan lebih 162,000 kematian akibat virus itu tahun lalu, lebih dua kali ganda daripada jumlah yang dilaporkan oleh pasukan petugas kerajaan setakat ini.

Rusia juga sering dipertikaikan kerana cuba menyembunyikan jumlah sebenar jangkitan pandemik itu dan hanya mengira kematian akibat Covid-19 selepas disahkan melalui bedah siasat.

Baru-baru ini, Rusia dilanda gelombang jangkitan kedua, namun tidak melaksanakan perintah berkurung seperti negara Eropah lain dan bergantung kepada program vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

Sehingga kini, 2.2 juta individu di negara itu sudah diberikan suntikan sejak vaksinasi bermula Januari lalu.

Bulan lalu, Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyain berkata, separuh daripada penduduk bandar itu atau sekurang-kurangnya enam juta orang, dijangkiti Covid-19, membuktikan jumlah penduduk dijangkiti jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Bagaimanapun, bulan lalu, beliau turut mengumumkan kelonggaran sekatan di bandar berkenaan, yang juga pusat wabak di Rusia.

Bar dan restoran tetap dibenarkan beroperasi seperti biasa, sekolah dibuka semula dan syarikat tidak lagi diwajibkan mengarahkan pekerja bekerja dari rumah.

Namun, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 9:53 PM