DUA wanita berjalan di Moscow pada 26 Mac lalu. FOTO Reuters
DUA wanita berjalan di Moscow pada 26 Mac lalu. FOTO Reuters
Reuters

Moscow: Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin memaklumkan pandemik Covid-19 di bandar berkenaan memasuki fasa baharu apabila jumlah kes jangkitan melebihi angka 1,000 dan penduduknya enggan duduk di rumah.

Pihak berkuasa Moscow, kawasan yang terjejas teruk di Rusia, mengarahkan penutupan kedai dan pusat hiburan semalam dan menggesa penduduk tempatan duduk di kediaman masing-masing.

Namun, sekurang-kurangnya 52,000 penduduk memilih untuk bersiar-siar di taman dan ramai warga emas menggunakan pengangkutan awam untuk perjalanan jarak jauh, kata Sobyanin dalam laman webnya.

“Situasi ini kini memasuki fasa baharu. Lebih 1,000 kes baharu dicatatkan di Moscow. Tiada sesiapa mendapat jaminan (untuk selamat).

“Apa yang berlaku di Itali, Sepanyol dan New York meragut ribuan nyawa dan manusia mati setiap hari. Ia berlaku di depan mata kita,” katanya.

Jumlah kes jangkitan baharu di Rusia kini meningkat 270 dalam tempoh 24 jam dengan jumlah keseluruhan 1,534.

Sembilan kematian dilaporkan dengan tujuh daripadanya di Moscow.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:45 PM