GELANDANGAN beragama Islam belajar mengaji al-Quran di PPG di Arena Badminton. FOTO Balqis Jazimah Zahari
GELANDANGAN beragama Islam belajar mengaji al-Quran di PPG di Arena Badminton. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


"SEJAK ditempatkan di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) ini, saya mendapat banyak peluang untuk mendalami Islam," kata gelandangan, Mohamad Danial Hakim Abdullah, 43.

Mohamad Danial Hakim yang memeluk Islam sejak 2007 berkata, walaupun berdepan banyak cabaran, dia tetap berusaha mendalami ilmu agama.

"Kebiasaannya pada Ramadan sebelum ini, saya belajar mengaji, belajar solat dan selalu mengikut ustaz solat di masjid.

"Terima kasih kerana selepas masuk ke sini (PPG), saya dapat peluang belajar agama," katanya ditemui pemberita ketika lawatan dan pemantauan Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun di PPG berkenaan di Arena Badminton, Ipoh, petang tadi.

Mohamad Danial Hakim berkata, dia sebelum ini pernah bekerja di restoran dan melakukan beberapa pekerjaan namun terpaksa berhenti selepas beberapa masalah.

"Banyak perkara yang belajar di sini dan saya berharap selepas ini saya dapat bekerja semula," katanya.

Gelandangan lain, Samsudin Abd Hamid, 68, pula mengakui hidupnya kini lebih terurus dan mampu mempelajari agama berbanding sebelum ini.

"Agak berbeza dengan suasana di luar, seronok di sini dan saya mendapat banyak pengajaran kerana kalau sebelum ini saya duduk seorang diri dan tiada kawan yang hendak memberi nasihat.

"Alhamdulillah di sini ada ustaz memberi ceramah boleh belajar sedikit sebanyak bab agama," katanya.

Samsudin berkata, dia berazam untuk bekerja dan mengubah hidup selepas ini.

Seorang lagi gelandangan, Ahmad Kamal Md Dahlan, 49, berkata dia bersyukur ditempatkan di PPG yang menyediakan keperluan yang lengkap dalam pelbagai perkara termasuk perihal agama.

"Alhamdulillah ada tempat begini, dalam sebulan ini banyak yang saya fikirkan untuk cuba mengubah diri saya selepas ini.

"Ramadan kali ini berbeza, saya terpilih dan berpeluang untuk melaungkan azan, sudah lama tidak buat tetapi saya cuba buat yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Halizah berkata, sepanjang Ramadan ini pihaknya mengatur pelbagai aktiviti terutama mereka gelandangan beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 12:05 AM