Balqis Jazimah Zahari

KERAJAAN Perak mewujudkan Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) bagi mengelak golongan itu menjadi kluster baharu penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin berkata, penempatan pusat bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada golongan ini.

Katanya, ia susulan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini yang ingin untuk menempatkan gelandangan di satu tempat.

“Disamping itu, kita dapat memberi perlindungan kepada mereka dengan cara lebih teratur, baik, sekali gus mendapatkan data terkini gelandangan di daerah Kinta dan seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat PPG di Arena Badminton Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Kompleks Sukan, Ipoh, hari ini.

DR NORASHIKIN bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Kompleks Sukan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
DR NORASHIKIN bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Kompleks Sukan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Norashikin berkata, PPG di daerah Kinta yang mula beroperasi semalam mampu menempatkan 77 penghuni, dan ia dijangka bertambah daripada semasa ke semasa.

“Operasi menyantuni gelandangan membabitkan 139 petugas dari pelbagai agensi bermula 6 petang semalam di tiga lokasi di sekitar Ipoh iaitu Taman Kanak-Kanak (TKK), sekitar kawasan tepi sungai (Restoren Nashmir) dan sebuah pasar raya.

“Seramai 49 gelandangan dibawa ke PPG semalam membabitkan 46 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 21 hingga 78 tahun,” katanya.

Beliau berkata, PPG akan memudahkan pemantauan terhadap kesihatan gelandangan, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Norashikin berkata, selain daerah Kinta, terdapat satu lagi PPG turut dibuka di daerah Larut Matang dan Selama (LMS).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 7:23 PM