Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Ketika orang ramai mula bercuti sempena tahun baharu esok, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif menyantuni gelandangan di Bulatan Kinabalu di ibu negara, hari ini.

Bukan saja memberikan pek makanan, pengisian rohani seperti tazkirah dikongsi bersama kira-kira 50 gelandangan sejak awal pagi.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Haliza Abdul Halim berkata, walaupun hari ini adalah hari terakhir 2020, sukarelawan sepertinya tetap terus menjalankan program membantu mereka yang memerlukan.

"Walaupun ramai antara kita bercuti dan melapangkan masa bersama keluarga, kami di sini tetap dengan iltizam untuk membantu.

"Selain Baitul Fiqh, ada NGO lain seperti Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Rakan Bersatu Kebajikan Selangor (RBKS) dan Pemulihan Dalam Komuniti Seksyen 3 Shah Alam.

"Sebelum ini, kami adakan kelas mengaji di sini pada setiap Khamis dan ada yang berjaya menyertai World Quran Hour bersama Datuk Rosyam Noor dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah," katanya ketika ditemui Harian Metro.

MUHAMMAD Hasbullah (kiri) dan Haliza (dua dari kiri) bertanya khabar gelandangan ketika menyampaikan pek makanan di Bulatan Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MUHAMMAD Hasbullah (kiri) dan Haliza (dua dari kiri) bertanya khabar gelandangan ketika menyampaikan pek makanan di Bulatan Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Dalam program itu, Ketua Pegawai Operasi MVM, Muhammad Hasbullah Md Najib memberi tazkirah kepada gelandangan selama 20 minit sebelum makanan diedarkan.

Beliau berkata, MVM berkolaborasi bersama Baitul Fiqh sejak enam tahun lalu khusus dalam gerakan dakwah bagi memastikan gelandangan tidak ketinggalan daripada segi agama.

"Kita berikan tazkirah dan taklimat mengenai ibadat agar mereka ini tidak tergelincir. Kita ada ajar mengaji kepada mereka.

"Alhamdulillah kita rasa ada kesan kepada mereka. Walaupun apa kita buat ini hanya usaha kecil, tetapi impaknya besar daripada sudut dakwah," katanya.

Sementara itu, gelandangan yang juga mualaf, Herwin Efendi Abdullah, 43, berkata, dia menerima banyak bantuan daripada pelbagai NGO di sekitar ibu negara sejak lapan bulan lalu.

Dia yang juga saudara baru sejak 2006 mengakui bersyukur kerana dapat menyertai kelas agama dan tazkirah walaupun hanya di jalanan.

"Saya berdoa supaya dapat belajar dan mendalami agama dengan lebih banyak lagi. Hari ini Baitul Fiqh hantar saya untuk mendalami ilmu di sekolah pondok di Baling, Kedah. Doakan saya," katanya.

Sementara itu, Mohd Aminuddin Abdullah, 39, berkata dia memeluk Islam di Kelantan, tujuh tahun lalu.

SEBAHAGIAN gelandangan sedang mendengar tazkirah disampaikan Muhammad Hasbullah pada program santuni gelandangan di Bulatan Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SEBAHAGIAN gelandangan sedang mendengar tazkirah disampaikan Muhammad Hasbullah pada program santuni gelandangan di Bulatan Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 1:29 PM