TEMPAT letak kenderaan pasar raya kosong berikutan arahan penutupan premis berkenaan oleh Jabatan Kesihatan Melaka. FOTO Hassan Omar
TEMPAT letak kenderaan pasar raya kosong berikutan arahan penutupan premis berkenaan oleh Jabatan Kesihatan Melaka. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

JABATAN Kesihatan negeri Melaka menafikan mengeluarkan arahan kepada pengunjung pasar raya di pekan Masjid Tanah, awal bulan ini supaya menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

Pengarahnya, Dr Ismail Ali berkata, jabatan itu tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu, sekali gus menafikan mesej tular dalam WhatsApp dan Facebook kononnya arahan sedemikian sudah dikeluarkan jabatan berkenaan.

Antara lain, mesej berkenaan yang tular sejak semalam memberi peringatan kepada sesiapa yang pernah mengunjungi pasar raya itu dari 1 hingga 3 Mei lalu kononnya dikehendaki menjalani saringan kesihatan di klinik terbabit.

Bagaimanapun, Dr Ismail berkata, sesiapa yang pernah terdedah kepada pelbagai aspek risiko jangkitan Covid-19 dan mempunyai simptom wabak berkenaan, dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

"Anda dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana fasiliti kesihatan," katanya dalam kenyataannya di Alor Gajah, hari ini.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka dengan menelefon 06-2356999/6851 atau emel [email protected].

Semalam, kira-kira 150 petugas pasar raya berkenaan menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah selepas pasar raya itu diarahkan menghentikan operasi dari semalam hingga 17 Mei ini.

Ia berikutan seorang wanita berusia 42 tahun dari pusat pengajian agama di Kampung Pulau Semut, Solok Duku, Masjid Tanah yang positif Covid-19 mendakwa pernah mengunjungi pasar raya berkenaan, awal bulan ini.

Selain wanita terbabit, seorang remaja lelaki yang turut menghuni pusat berkenaan turut disahkan positif Covid-19 dan mereka sedang menjalani rawatan di Hospital Melaka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 11:55 AM