GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) hari ini menafikan maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat beberapa warga asing yang positif Covid-19 di perhentian bas Melaka Sentral, Melaka semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Ismail Ali berkata sebenarnya penumpang terlibat merupakan satu keluarga warga tempatan yang pulang dari luar negara pada 23 Julai lalu melalui Pintu Masuk Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Beliau berkata semua ahli keluarga berkenaan disahkan negatif ujian Covid-19 semasa menjalani saringan kesihatan di KLIA dan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam perjalanan balik ke tempat tinggal bagi menjalani kuarantin di rumah.

"Rakaman suara dan gambar tular di WhatsApp itu diambil secara rambang oleh individu yang tidak dikenali, namun, JKNM ingin menjelaskan bahawa kandungan rakaman suara terbabit tidak benar," katanya dalam kenyataan di Melaka, hari ini.

Dr Ismail berkata, laporan polis dibuat bagi menyiasat perkara itu dan sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih.

Untuk maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau e-mel [email protected].

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman suara dan gambar yang mendakwa terdapat beberapa warga asing berketurunan India positif Covid-19 berada di sekitar Melaka Sentral.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 1:36 PM