BERNAMA

TUKANG pasang jubin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh diri kerana berdepan dengan masalah kewangan pada Ahad lalu.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Sim Chuan, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

"Kalau ada masalah, hubungi talian disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau ahli psikologi untuk mendapatkan khidmat nasihat. Tindakan cuba membunuh diri bukan jalan terbaik," kata Teoh.

Lelaki itu didakwa cuba membunuh diri dalam bilik tidur di Blok B, Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, Melaka pada 8 malam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh bertengkar dengan abang iparnya di bilik tidur kerana tertuduh kerap meminjam wang daripada ibunya.

Apabila abang iparnya keluar dari bilik, tertuduh menutup dan mengunci pintu bilik dari dalam.

Tertuduh membuka jeriji tingkap dan kemudian menulis dengan tulisan Cina di kertas yang bermaksud, "Saya rasa bersalah pada ibu bapa" dan menyelitkan kertas itu di bawah celah pintu sebelum mengeluarkan sebelah kakinya di tingkap.

SIM Chuan dipenjara tujuh hari selepas didapati bersalah melakukan cubaan membunuh diri di dalam sebuah bilik tidur di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, Melaka pada 26 April lalu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SIM Chuan dipenjara tujuh hari selepas didapati bersalah melakukan cubaan membunuh diri di dalam sebuah bilik tidur di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, Melaka pada 26 April lalu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Setengah jam kemudian tertuduh membuka pintu bilik dan mengacu gunting di lehernya dengan ugutan mahu membunuh diri, namun dia berjaya ditenteramkan ibunya dan selepas itu, polis membawa tertuduh ke Balai Polis Bandar Hilir untuk tindakan lanjut.

Tan turut didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine untuk diri sendiri di Pejabat Narkotik Melaka Tengah, pada 12.01 tengah malam 27 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta pengawasan selama dua tahun.

Bagaimanapun, Tan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 22 Jun nanti untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala Tan diwakili peguam Yap Wei Ping.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 4:38 PM