Rakyat Malaysia bekerja di Singapura berjalan di Tambak Johor untuk pulang ke Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Rakyat Malaysia bekerja di Singapura berjalan di Tambak Johor untuk pulang ke Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura diwajibkan memohon Permit Kemasukan (Entry Permit) jika mahu pulang ke negara ini mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata penguatkuasaan syarat baharu bermula esok itu mensyaratkan permohonan dikemukakan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura menerusi emel.

"Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura menetapkan syarat bahawa semua rakyat Malaysia di Singapura yang berhajat untuk pulang negara ini perlu mendapatkan Permit Kemasukan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini bermula esok.

"Bagi memohon permit kemasukan berkenaan, mereka perlu menyatakan butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor pasport, tarikh berlepas dan salinan pas pekerja, pas jangka panjang, pas penduduk tetap atau pas pelajar.

"Kesemua dokumen berkenaan perlu diemelkan kepada [email protected] selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh memasuki negara ini.

"Permit Kemasukan akan diemel kepada mereka kembali. Mereka hanya perlu menunjukkan permit berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk darat di Johor Bahru sebelum dibenarkan melepasi sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara langsung di akaun Facebook rasmi kerajaan Johor, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNK) melaporkan tiada penambahan kes baharu Covid-19 di Johor, semalam.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Johor kekal sebanyak 655 kes.

"Tiada juga kes kematian direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif (kes kematian) di Johor kekal 17 orang.

"Statistik ini menunjukkan kita semakin berjaya melawan pandemik Covid-19 dan diharap rakyat Johor terus berdisiplin dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), " katanya.

Katanya, jumlah kes kumulatif sembuh di Johor mencatatkan sebanyak 368 kes manakala 270 orang masih dirawat sehingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 12:18 PM