GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Penghantaran pulang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri akan bermula Jumaat ini hingga 12 Mei dengan jangkaan melibatkan lebih 16,000 penuntut dari seluruh kampus.

Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pihaknya menyediakan lebih 200 kenderaan melibatkan bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kereta untuk melancarkan pergerakan penuntut ke seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, penghantaran pulang penuntut akan membabitkan keseluruhan 30 kampus dengan disertai lebih 700 kakitangan.

"Pihak UiTM akan mengagihkan bilangan kenderaan yang diperlukan oleh semua kampus mengikut zon setelah kesemua pelajarnya melengkapkan borang selidik yang telah diedarkan," menurut kenyataan itu.

Proses penghantaran pulang penuntut turut membabitkan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta pelbagai jabatan bagi memastikan kelancaran dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagi penuntut yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama, menurut kenyataan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 3:48 PM