Ahmad Safee memasukkan beras ke dalam kereta untuk disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan. FOTO Rosman Shamsudin.
Ahmad Safee memasukkan beras ke dalam kereta untuk disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin


KETIKA umat Islam lain masing-masing sibuk membuat persiapan menyambut Ramadan, lain pula tindakan seorang lelaki yang mengenepikan persiapan sendiri tetapi berkerja keras menyiapkan barangan keperluan asas untuk diberikan kepada golongan kurang kemampuan.

Ahmad Safee Arifin, 51, dari Kampung Kuala Slim dekat Muallim berkata, sudah menjadi amalannya setiap tahun menyumbangkan keperluan asas kepada golongan kurang mampu.

Menurutnya, keadaan orang kurang berkemampuan itu tentunya lebih terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Katanya, ia adalah sumbangannya sekeluarga bagi mengurangkan beban golongan itu ketika menyambut Ramadan.

"Tahun ini, saya memperuntukkan kira-kira 30 bungkusan barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada golongan terbabit yang tinggal sekitar kampung.

"Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan di mana kita digalakkan saling membantu terutama kepada golongan yang memerlukan, pahala dan ganjaran akhirat sudah dijanjikan kepada mereka yang bersedekah," katanya ketika ditemui.

Tahun lalu, dia hanya mengenakan bayaran RM20 bagi setiap kilogram daging lembu ketika sambutan Aidilfitri di kampung itu.

"Insya-Allah, saya akan teruskan amalan ini dan semoga menjadi ikutan anak muda yang berkerjaya dalam membuat amal kebajikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 6:30 PM