Sukarelawan Masjid Sultan Idris Shah II Slim River mengunakan van jenazah untuk mengagihkan bantuan kepada ahli kariah. FOTO Rosman Shamsudin
Sukarelawan Masjid Sultan Idris Shah II Slim River mengunakan van jenazah untuk mengagihkan bantuan kepada ahli kariah. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

JAWATANKUASA Masjid Sultan Idris Shah II Slim River mengagihkan kira-kira 150 bungkus barangan keperluan harian kepada ahli kariah masjid dekat Muallim hari ini.

Sumbangan barangan keperluan asas itu diberikan golongan asnaf, fakir miskin dan ibu tunggal bagi meringankan beban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan persiapan menyambut Ramadan.

Terdahulu, Pegawai Daerah Muallim merangkap Pengerusi Masjid Sultan Idris Shah II Shamsul Ridzuan Idris menyampaikan bungkusan barangan keperluan asas kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk dipanjangkan kepada ahli kariah.

Sukarelawan masjid, Halim Hasim, 48, berkata, bagi kampung lain pula, pihak kami akan menghantar barangan keperluan asas dengan menggunakan van jenazah masjid itu.

Menurutnya, sebelum ini dia dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah untuk mengagihkan bungkusan itu bagi memastikan urusan penghantaran barangan itu sampai kepada ahli kariah setiap kampung.

“Bungkusan barangan keperluan asas ini diharapkan dapat membantu dan meringankan beban golongan terpilih itu dalam menghadapi PKP dan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

“Sumbangan ini datangnya daripada pihak masjid sendiri iaitu hasil pemuafakatan ahli jawatankuasa masjid yang prihatin terhadap golongan terbabit,” katanya ketika ditemui di pekarangan masjid.

Halim berkata, antara kariah yang menerima bantuan itu terdiri daripada penduduk di Kampung Kurnia, Kampung Bantang, Kampung Trolak Pekan, Kampung Manggis, Rumah Awam 1 dan 2 , Bandar Baharu dan Kampung Batu Empat.

Menurutnya, penggunaan van jenazah yang diubahsuai untuk membolehkan sukarelawan membawa barang secara pukal ke destinasi terpilih itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 3:13 PM