MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk  Dr Noraini Ahmad (tengah) membantu menyediakan 'Pek Bujang' untuk diagihkan kepada mahasiswa  Institut Pengajian Tinggi (IPT). FOTO ihsan Yayasan Sukarelawan Siswa
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad (tengah) membantu menyediakan 'Pek Bujang' untuk diagihkan kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT). FOTO ihsan Yayasan Sukarelawan Siswa
Raja Noraina Raja Rahim


SERAMAI 1,213 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima sumbangan makanan daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), hari ini.

Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sumbangan menerusi projek ‘Do-Nation Project by YSS: Feed The Love’ diagihkan kepada penuntut yang berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, sumbangan yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu disalurkan ke beberapa IPT di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Sumbangan berbentuk pek bujang yang mengandungi makanan kering seperti mee segera, minuman 3 in 1 dan biskut diberikan untuk keperluan penuntut dalam mengharungi tempoh PKP.

“YSS melaksanakan inisiatif ini dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu penuntut terkesan akibat PKP yang dikuatkuasa bermula 18 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, pengumpulan barang sumbangan itu sudah bermula sejak 13 April lalu dan pengagihan dilakukan dalam dua fasa bermula 16 April hingga esok.

Sesi pembungkusan barang sumbangan berkenaan turut disertai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mazlan Yusoff dan Setiausaha Agung NGO Dana Kita, Dr Wan Ahmad Faiz.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 3:08 PM