Muhammad Aiman (tengah) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Desa Jenderam Hilir.  FOTO Ihsan Yayasan Sukarelawan Siswa
Muhammad Aiman (tengah) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Desa Jenderam Hilir. FOTO Ihsan Yayasan Sukarelawan Siswa
Murnaena Muhammad Nasir


TIGA puluh keluarga yang terjejas banjir di Taman Desa Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor menerima Bantuan Pasca Banjir daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YSS, Muhammad Aiman Mohd Zin berkata, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir sekali gus memberi keceriaan kepada mereka.

"Setiap keluarga menerima sumbangan berjumlah RM200 merangkumi barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, selimut dan pelitup muka.

"Pek Ceria yang mengandungi mainan dan alat tulis turut diagihkan kepada kanak-kanak yang terjejas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Majlis Perbandaran Sepang Zon Jenderam, Syahrul Amri berkata, keperihatinan YSS patut dicontohi.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YSS atas sumbangan kepada penduduk yang terjejas terutamanya golongan B40 yang mengalami kerugian besar dari segi harta benda," katanya.

Sumbangan diagihkan di Surau Al-Muhajirin dan beberapa rumah di kawasan terbabit.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Penduduk Surau Al-Muhajirin, Hj Daud Yusoff, ahli jawatankuasa Surau Al-Muhajirin dan warga kerja Yayasan Sukarelawan Siswa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 5:52 PM