EMPAT anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 'mencuri' masa untuk memberi makan kepada lebih 20 haiwan terbiar itu di Teluk Batik, Lumut sejak bulan lalu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
EMPAT anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 'mencuri' masa untuk memberi makan kepada lebih 20 haiwan terbiar itu di Teluk Batik, Lumut sejak bulan lalu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
BERNAMA

PEMBUANGAN haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat tiga kali ganda di sekitar Kuala Lumpur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Persatuan Haiwan Malaysia.

Presidennya Arie Dwi Andika berkata perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga pemberi makan haiwan jalanan.

“Misalnya, sesuatu kawasan itu selalu ada lima ekor anjing, tetapi semalam jumlah itu meningkat kepada 18 hingga 20 ekor, kira-kira tiga kali ganda. Kesemua anjing yang dibuang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat bersih,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai kelakuan anjing baharu itu, Arie berkata ia amat jinak dan tidak agresif.

Beliau menambah, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati kebanyakan haiwan itu dibuang di kawasan perindustrian yang sunyi dan bukannya di kawasan perumahan.

“Pemilik haiwan memilih kawasan itu bagi mengaburi mata orang awam. Mereka langsung tidak mempedulikan keselamatan dan makan minum haiwan berkenaan,” katanya.

Arie berkata, persatuan tidak menolak kemungkinan pemilik haiwan bertindak sedemikian kerana khuatir jangkitan penyakit dan tidak mampu meneruskan memelihara haiwan peliharaan kerana kehilangan sumber pendapatan ketika musim PKP ini.

“Ke manakah kasih sayang sebelum ini telah pergi? Apakah nasib anjing dan kucing peliharaan yang selama ini menganggap pemilik sebagai keluarga sendiri dan sebagai tempat berteduh selepas dibuang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya mewajibkan pemasangan ‘mikrocip identiti’ di badan haiwan berkenaan kerana ia akan membantu mengesan pemilik haiwan jika mereka membuang haiwan itu.

Sementara itu, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata pemilik haiwan yang meninggalkan mana-mana haiwan yang menyebabkan ia terabai, sakit, lapar dan dahaga, boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(p) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” tegasnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 9:02 PM