Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memberi suntikan vaksin kepada kucing dan anjing peliharaan penduduk di Kampung Paon Rimo, Serian. - Foto MOHD RADZI BUJANG.
Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memberi suntikan vaksin kepada kucing dan anjing peliharaan penduduk di Kampung Paon Rimo, Serian. - Foto MOHD RADZI BUJANG.
BERNAMA

SEBANYAK 19 kes terbaru gigitan anjing dan kucing dilaporkan berlaku hari ini, menjadikan 26 kes gigitan dikesan sejak 2 hingga 16 Julai.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata ini menjadikan kes kumulatif gigitan anjing sejak 1 April hingga ke hari ini adalah sebanyak 332.

Selain itu, seramai 235 orang datang untuk mendapatkan vaksin bagi haiwan peliharaan mereka, kata sekretariat itu dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Menurut sekretariat itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) memvaksinkan 5,850 haiwan peliharaan terdiri daripada 1,626 ekor anjing, 2,810 kucing dan 23 haiwan lain sehingga hari ini.

Semalam, 516 ekor anjing dan 1,019 ekor kucing daripada 263 pemilik haiwan diberi vaksin di sekitar bandar Serian dan proses itu diteruskan lagi mulai 10 pagi hingga 4 petang di lokasi sama hari ini.

JPVS juga mengadakan 68 kempen kesedaran mengenai wabak rabies di kawasan terbabit yang dihadiri 4,862 penduduk kampung dan pelajar sekolah.

“JPVS akan meneruskan aktiviti penyiasatan kes-kes yang dilapor berkaitan wabak Rabies di sekitar bahagian Serian,” kata sekretariat itu.

Mereka yang digigit anjing dalam kawasan itu diminta tampil segera menjalani pemeriksaan di klinik dan hospital terdekat.

Pada masa ini, vaksin hanya diberikan kepada kes gigitan anjing dan kucing yang berlaku di kawasan wabak yang memenuhi kriteria klinikal.

Sehingga kini wabak rabies di Bahagian Serian sudah mengorbankan tiga kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 6:47 PM