KEADAAN Perodua Viva dan lori yang bertembung  dan menyebabkan dua beranak terbunuh di Kampung Gajah, hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
KEADAAN Perodua Viva dan lori yang bertembung dan menyebabkan dua beranak terbunuh di Kampung Gajah, hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
Noor Hidayah Tanzizi


WANITA dan anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori membawa muatan ikan di Jalan Tanjung Tualang - Kampung Gajah, berhampiran Simpang Kota Pinang, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 3.35 petang itu, pemandu kereta Perodua Viva, Law Ai Yeng, 37, dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama kelindan lelaki warga Indonesia dari arah Kampung Gajah menghala ke Tanjung Tualang, manakala dua beranak terbabit dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian kenderaan berat berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta dinaiki dua beranak itu.

“Akibat kemalangan itu, mangsa wanita parah di badan, anak lelakinya pula parah di kepala dan kedua-dua beranak itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori dan kelindan berusia 27 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Barudin berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk proses bedah siasat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 8:27 PM