KENDERAAN terbabit kemalangan di Jalan Sungai Galah - Tanjung Tualang, FOTO Ihsan JBPM.
KENDERAAN terbabit kemalangan di Jalan Sungai Galah - Tanjung Tualang, FOTO Ihsan JBPM.
Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Sungai Galah - Tanjung Tualang, berhampiran Kampung Gajah, dekat sini, petang tadi.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki dua lelaki tempatan di lorong bertentangan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang.

"Pemandu Proton Iswara tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penumpang kereta berkenaan cedera parah pada anggota tubuh. Pemandu Isuzu Dmax turut cedera.

"Mangsa yang tersepit dibawa keluar menggunakan peralatan khas.

"Dua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Changkat Melintang, manakala mayat mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:17 PM