GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Oleh Mohd Amin Jalil


PENGURUS jurutera berusia 38 tahun kerugian RM119,738.88 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa yang tinggal di Nilai, menerima panggilan dari Pos Laju Malaysia pada 5 petang, 30 Mac lalu, memaklumkan terdapat barangan yang tidak dituntut atas namanya.

Bagaimanapun, katanya, panggilan disambungkan kepada IPK Sabah yang kemudian memaklumkan akaunnya terbabit dengan penggubahan wang haram.

Katanya, mangsa kemudian diminta memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kerana akaun berkenaan sedang disiasat.

“Susulan itu mangsa mengeluarkan wang dari akaun ASNB miliknya pada 12.28 tengah hari 7 April lalu, dan memasukkan ke akaun Ambank bernombor 8881037637083 atas nama Siti Nadila Amir berjumlah RM115,938.88.

“Transaksi itu bertujuan semakan atau membuat audit terhadap akaun mangsa,” katanya hari ini.

Aibee berkata, bagaimanapun, mangsa sekali lagi diminta membuat satu lagi transaksi secara dalam talian ke akaun Maybank bernombor 164388707221 atas nama Lee Ming Soon sebanyak RM3,800 pada hari sama, bagi tujuan sama.

Menurutnya, pada 14 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan namanya sebagai Mokhtar, mengatakan akaun milik mangsa adalah bersih.

Beliau berkata, anggaran kerugian yang ditanggung mangsa adalah sebanyak RM119,738.88.

“Saya berharap orang ramai berhati-hati kerana kegiatan sindiket Macau Scam menggunakan pelbagai helah untuk mencari mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 2:57 PM