Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


DOKTOR sebuah hospital di Seremban kerugian RM92,800 apabila diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai dan terbabit pelbagai jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, kejadian berlaku semalam, selepas mangsa berusia 28 tahun menerima panggilan telefon seorang lelaki ketika sedang bekerja.

"Mangsa mulanya terima panggilan telefon lelaki mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai RM38,000, tetapi panggilan telefon itu kemudiannya disambung ke IPK Pahang.

"Seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis memberitahu mangsa terbabit jenayah antaranya, milikan senjata api, pengubahan wang haram dan dadah, serta dia perlu memindahkan wang ke dalam akaun diberikan untuk tujuan semakan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

"Akur dengan arahan itu, mangsa membuat beberapa pindahan wang bermula 12.48 tengahari di Maybank Seremban sebanyak RM30,000 sehingga keseluruhan RM92,800," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aibee berkata, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas membuat semakan mengenai penipuan Macau Scam di Internet dan membuat laporan polis.

Sebelum itu, katanya, seorang tukang jahit wanita di Jempol berusia 51 tahun, turut rugi RM80,954 kerana terpedaya dengan iklan pinjaman tidak wujud yang dilihat di Facebook tahun lalu.

Menurutnya, mangsa terpengaruh dengan iklan berkenaan untuk suntikan modal bagi perniagaannya dan mula berurusan dengan pihak berkenaan bagi pinjaman berjumlah RM250,000 pada 29 Mei lalu.

"Dia melakukan 26 transaksi pindahan menerusi Maybank dan lapan kali di Public Bank sebelum menyedari ditipu pihak tak bertanggungjawab," katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 5:22 PM