KAKITANGAN KKM membuat pemeriksaan suhu badan ke atas kanak-kanak di Masjid Sheikh Haji Ahmad, Taman Nusari Aman, Sendayan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
KAKITANGAN KKM membuat pemeriksaan suhu badan ke atas kanak-kanak di Masjid Sheikh Haji Ahmad, Taman Nusari Aman, Sendayan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 315 kes positif wabak Covid-19 adalah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 14 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan enam peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 5,182 kes yang dilaporkan di negara ini.

“Daripada jumlah itu, 83 pesakit masing-masing di kalangan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan lima hingga sembilan tahun.

“Selain itu, 149 pesakit pula di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan kanak-kanak mendapat jangkitan daripada ibu bapa atau ahli keluarga yang positif wabak berkenaan.

“Biasanya kanak-kanak ini dapat jangkitan bersama keluarga sama ada ibu atau ayah. Kalau mereka dapat sekali jangkitan, kita akan letakkan bersama dalam wad atau bilik.

“Sekiranya kanak-kanak dijangkiti tetapi ibu bapa tidak dijangkiti, ibu bapa yang ingin menjaga anak perlu menandatangani persetujuan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, KKM bagaimanapun menggalakkan ibu bapa yang menjaga anak dijangkiti Covid-19 memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE) sepanjang tempoh penjagaan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:12 PM