SUSPEK tokan dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK tokan dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman

AKTIVITI mengedar dadah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu beri pulangan lumayan menjadi alasan tokan dadah ketika ditahan di Kampung Lubuk Setol, Langkawi, awal pagi hari ini.

Suspek berusia 39 tahun dicekup anggota dari Balai Polis Kuala Teriang ketika menunggu pelanggan di kawasan kebun getah pada 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, terdahulu anggota polis yang melakukan rondaan dan pemantauan PKP mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan pada badan suspek menemui tiga peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 11.75 gram (g) dalam poket seluar.

“Turut ditemui enam keratan straw mengandungi dadah sama seberat 3.84 g dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM800 dan dipercayai untuk diedarkan kepada penagih di kawasan itu,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, suspek turut mengaku menggunakan wang bantuan kerajaan bagi mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali Mat Ery sebelum menjualnya kepada penagih lain.

Menurutnya, polis turut merampas satu beg berzip berwarna hitam dan sehelai seluar jeans paras lutut yang dipakai suspek untuk siasatan.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek turut disiasat dibawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:28 PM