SEBAHAGIAN daripada lapan tokan yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada lapan tokan yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


JUAL dadah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hasil berbaloi. Itu pengakuan lapan 'tokan' dadah ketika yang ditahan di Langkawi, semalam.

Suspek berusia antara 27 dan 62 tahun itu dicekup sepasukan polis menerusi dua tangkapan di hadapan sebuah rumah di Kampung Perana, pada 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, bagi kes pertama, tujuh suspek termasuk seorang lelaki dan dua wanita warga Thailand ditahan.

"Hasil pemeriksaan polis merampas lima peket plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 10.25 gram (g) dan 10 keratan straw berisi heroin seberat 2.43 g.

"Kesemua suspek mengaku terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah sejak lebih tiga tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, tujuh individu terbabit direman dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Siasatan lanjut kepada kes pertama itu membawa kepada tangkapan kedua membabitkan seorang suspek berusia 27 tahun di tempat dan waktu sama.

"Polis kemudian merampas dadah jenis heroin seberat 102.0 g dan syabu seberat 1.18 g milik suspek yang juga penganggur," katanya.

Beliau berkata, suspek turut direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B dan 12(2) ADB 1952, selain Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 8:48 AM