ANTARA dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


TOKAN dadah ditahan polis bersama heroin dan syabu bernilai RM40,000 dalam serbuan di Terminal Jeti Penumpang di Kuah, Langkawi, petang semalam.

Dalam serbuan 4.30 petang itu, polis menahan lelaki berusia 29 tahun sejurus suspek tiba dengan feri penumpang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemeriksaan menemui heroin seberat 1.3 kilogram (kg) dan syabu seberat 150 gram yang disembunyikan suspek dalam beg galasnya.

“Polis percaya heroin dianggarkan bernilai RM28,000 dan syabu RM12,000 itu cuba diedarkan suspek kepada penagih sekitar Langkawi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan juga mendapati suspek turut memiliki rekod jenayah sama bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat berdasarkan Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 10:03 AM