DADAH jenis heroin dirampas daripada enam tokan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan polis.
DADAH jenis heroin dirampas daripada enam tokan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hamzah Osman


ENAM tokan dadah ditahan polis dalam serbuan di Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, tengah malam tadi.

Suspek berusia antara 34 dan 47 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi menerusi Ops Tapis pada 12.10 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor itu dilakukan berdasarkan maklumat awam.

“Sejurus tiba di lokasi, anggota polis mendapati pintu hadapan rumah terbuka dan enam lelaki sedang duduk di atas lantai sambil menghadap antara satu sama lain.

“Melihat kehadiran polis, semua suspek cuba melarikan diri dengan merempuh beberapa anggota keselamatan yang cuba menahan mereka.

“Bagaimanapun, semuanya berjaya ditahan berikutan kawasan persekitaran rumah sudah dikepung polis,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya menemui 23 keratan straw dan dua paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah heroin seberat 21.48 gram di atas lantai.

Beliau berkata, semua suspek turut positif ujian air kencing, selain memiliki jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Siasatan mendapati seorang daripada suspek menerima bekalan dadah terbabit daripada seorang lelaki dikenali sebagai Man di Kampung Bukit Malut.

“Suspek turut memaklumkan dia kerap berurusan jual beli dadah dengan Man sejak setahun lalu dengan purata belian mencecah lima kali sebulan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, semua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 8:57 PM