PAKAR pusat penyelidikan dan inovasi SIRIM menghasilkan alat pelindung muka dan cecair pembasmi kuman.
PAKAR pusat penyelidikan dan inovasi SIRIM menghasilkan alat pelindung muka dan cecair pembasmi kuman.
Ruwaida Md Zain

Hasilkan alat pelindung muka dan cecair pembasmi kuman untuk disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan di klinik kesihatan di seluruh Selangor.

Itu usaha dilakukan SIRIM Berhad (SIRIM) dengan memanfaatkan pusat penyelidikan dan inovasinya bagi membantu menangani wabak Covid-19.

SIRIM dalam kenyataannya tadi memaklumkan berjaya menghasilkan alat pelindung muka di Pusat Inovasi Perindustrian dalam Pembuatan Pintar SIRIM dengan menggunakan teknologi percetakan 3D, teknologi ‘Filament Deposition Modeling’ (FDM) dan teknologi ‘Selective Laser Sintering’ (SLS).

Cecair pembasmi kuman yang mengandungi 70 peratus alkohol pula, dihasilkan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian SIRIM di kilang kosmetik bertaraf Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP), yang mematuhi keperluan pengawal seliaan ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

“Barangan ini disumbangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), untuk kegunaan petugas perubatan yang mengendalikan kes Covid-19. Ia antara inisiatif SIRIM bagi membantu petugas barisan hadapan, dalam menghadapi pandemik berkenaan.

“Penyelidik SIRIM sentiasa komited dalam menghargai usaha barisan hadapan, dan mencari penyelesaian yang boleh membantu mereka, supaya dapat bertugas dengan selamat," menurutnya.

Menurut SIRIM lagi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, pusat penyelidikan itu menghasilkan lebih 4,000 botol cecair pembasmi kuman, dan sudah diedarkan kepada pembekal untuk kegunaan hospital.

“Selain klinik kesihatan di Shah Alam dan Klang, SIRIM turut menyumbang alat pelindung muka di Klinik Kesihatan Sg Selisek, Kuala Kubu Baru dan Klinik Kesihatan Balakong, Selangor; Balai Polis Bandar Baru Bangi, Selangor; Pejabat Kesihatan Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang; Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan; dan Hospital Pasir Mas, Kelantan," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu menambah Pusat Inovasi Perindustrian dalam Pembuatan Pintar SIRIM juga, membantu menghasilkan ‘Y Splitter for ventilators’ iaitu komponen untuk kegunaan mesin ventilator yang menggunakan teknologi percetakan 3D.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 7:03 PM