SEKATAN jalan yang dilakukan di Kampung Parit Salam bagi menguatkuasakan PKPD di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
SEKATAN jalan yang dilakukan di Kampung Parit Salam bagi menguatkuasakan PKPD di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


WALAUPUN berat untuk menerima sekiranya Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM), Simpang Renggam dilanjutkan, namun kesihatan kira-kira 3,560 penduduk di kawasan ini serta kampung rangkaian berdekatan harus menjadi keutamaan.

Ketua Kampung Parit Ghani, Jasman Kassim berkata, secara dasarnya memang penduduk di perkampungan ini terkesan dengan pelaksanaan PKPD ini apabila semua pergerakan mereka terhad hanya di rumah sejak lebih dua minggu lalu.

Namun, Jasman merasakan lanjutan PKPD di kawasan ini penting kerana keadaan belum bersih sepenuhnya dan masih ada lagi kes-kes wabak baru yang dilaporkan berlaku.

“Walaupun berat untuk dihadapi kerana ianya pertama kali berlaku namun bahaya di luar sana masih banyak dan sekiranya PKPD ditamatkan kita tidak akan dapat membendung pergerakan penduduk di kawasan ini.

“Berikutan itu, kemungkinan wabak Covid-19 merebak semula di kawasan ini adalah tinggi sekiranya PKPD ditamatkan ketika masih ada penduduk yang dilaporkan menghidap penyakit berbahaya ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Datuk Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin turut sependapat dengan Jasman yang setuju PKPD ditambah sehingga 28 April nanti selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara sekarang ini.

“Apatah lagi sekiranya saringan ke atas penduduk di dua penempatan belum selesai dan dikhuatiri masih ada lagi penduduk yang terkesan dengan wabak maut ini.

“Bagaimana pun, sekiranya PKPD di dua kawasan penempatan ini ditamatkan esok, orang kampung perlu memainkan peranan masing-masing dengan melakukan kuarantin sendiri di rumah dan hanya ketua atau wakil keluarga yang sihat sahaja keluar mendapatkan barang-barang keperluan harian mereka,” katanya.

Sarlan berkata, apa pun keputusan yang akan diputuskan oleh kerajaan esok, penduduk kampung harus menerima dengan sebaiknya namun dalam masa sama perlu mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan demi untuk kebaikan bersama.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 12:55 PM