R VIDYANANTHAN (tengah) menyerahkan sumbangan bekalan makanan asas kepada Ketua Masyarakat India Pekan Kahang di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
R VIDYANANTHAN (tengah) menyerahkan sumbangan bekalan makanan asas kepada Ketua Masyarakat India Pekan Kahang di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

PENDUDUK di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM) yang terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak perlu bimbang kerana semua prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaannya tetap sama seperti fasa sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, semua keperluan termasuk bekalan makanan asas mencukupi dan akan dibekalkan seperti biasa.

Katanya, pemantauan sepenuhnya di semua kawasan terbabit akan dilakukan seperti biasa termasuk pusat operasi di Bilik Gerakan Bencana Covid-19 di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

“Antara sebab kerajaan memanjangkan tempoh PKPD di sini adalah bagi memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan saringan ulangan kepada penduduk yang dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

“Saya percaya semua ini dapat dilaksanakan dalam beberapa hari lagi dan selepas kita akan dapat mengetahui sepenuhnya mengenai isu kesihatan di dua kawasan berkenaan,” katanya.

Vidyananthan berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan bantuan bekalan makanan asas kepada Ketua Masyarakat India Pekan Kahang di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Datuk Ibrahim Majid Sarlan Yasmin berkata, penduduk di kampung berkenaan sudah bersedia dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan.

Katanya, pihaknya juga sedar bahawa perlanjutan PKPD ini perlu berikutan wabak masih belum pulih sepenuhnya walaupun secara dasarnya ia kelihatan sudah terkawal.

“Perlanjutan tarikh ini juga perlu berikutan masih ramai penduduk kampung yang dirawat di hospital dan belum pulih sepenuhnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:05 PM