ELLISA Shahira. FOTO Ihsan pembaca
ELLISA Shahira. FOTO Ihsan pembaca
Adnan Ibrahim

PENDUDUK di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM) di Simpang Renggam, akur jika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dilaksanakan sejak 13 hari lepas disambung jika ia demi kebaikan bersama.

Pada masa sama, mereka turut berharap PKPD dapat ditamatkan kerana lama terperap di rumah selain mahu menjalani kehidupan harian seperti sebelum ini.

Guru Sekolah Kebangsaan Johor Jaya 1 yang tinggal di Kampung Parit Salam, Ellisa Shahira Mohd Yunus, 22, berkata, rasa rindu kepada anak murid serta rakan sekerja amat terasa kerana sepatutnya dia sudah kembali mengajar seminggu yang lalu.

Bagaimanapun, sekiranya PKPD ditamatkan, Ellisa mengharapkan orang ramai, khususnya penduduk BBIM, terus mengikuti arahan kerajaan bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan.

“Penduduk juga diharapkan tidak mengadakan sebarang kenduri kesyukuran dalam tempoh terdekat ini sekiranya PKPD ditamatkan sehingga tiada lagi jangkitan terbaharu di mana-mana kawasan di negara ini.

“Apa yang perlu dilakukan adalah, semua penduduk di sini perlu terus tinggal di rumah masing-masing dan hanya ketua atau wakil keluarga yang benar-benar sihat sahaja keluar untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Anidah Basri, 51, dari Kampung Datuk Ibrahim Majid berkata, tidak menjadi masalah bagi keluarganya sekiranya PKPD disambung lagi kerana keutamaan adalah untuk memastikan Covid-19 terhapus.

ANIDAH. FOTO Ihsan pembaca
ANIDAH. FOTO Ihsan pembaca

Katanya, walaupun rutin harian kini berbeza namun apa yang lebih penting adalah kesihatan serta keselamatan semua.

“Oleh itu, apa pun keputusan yang akan diumumkan oleh kerajaan berkaitan PKPD, kami tetap akur dan akan terus patuh demi kepentingan bersama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:50 PM