MISI penghantaran bantuan bekalan makanan ke pedalaman Sarawak menggunakan helikopter TUDM dan Hornbill Skyway berjalan lancar hari ini. FOTO ATM
MISI penghantaran bantuan bekalan makanan ke pedalaman Sarawak menggunakan helikopter TUDM dan Hornbill Skyway berjalan lancar hari ini. FOTO ATM
Mohd Roji Kawi


OPERASI penghantaran bantuan bekalan makanan ke kawasan pedalaman Sarawak oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari seperti yang ditetapkan, hari ini.

Jurucakap ATM berkata, walaupun berdepan cuaca tidak menentu selain faktor geografi yang mencabar berikutan lokasi penghantaran yang berbukit bukau, namun kecekapan juruterbang dan kru helikopter EC725 AP berjaya melaksanakan misi penghantaran ke semua 13 lokasi yang ditetapkan.

"Misi terakhir hari ini (semalam) sebanyak tiga sortie penerbangan dilaksanakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan membawa bantuan bekalan makanan dari Lapangan Terbang Miri ke Long Akah, Long Sobeng dan Long Aton di pedalaman hulu Baram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhannya sebanyak 19 sortie penerbangan dilaksanakan TUDM di 13 lokasi dengan muatan hampir 30,000 kilogram.

Lokasi penghantaran yang dilaksanakan dalam tempoh lima hari sejak Ahad lalu ialah Bario, Long Sait, Long Lellang, Long Sobeng, Long Aton, Long Loyang, Long Akah, Long Anap, Apau Nyaring, Long Palai, Long Apu, Patik dan Bai Lai.

Misi penghantaran bantuan itu dilaksanakan helikopter No 5 Skuadron EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Labuan bermula sejak Ahad lalu.

Set kru pertama diketuai juruterbang Leftenan Kolonel Vachiral Ratanaphan Ban Teang dibantu Kapten Mohd Firdaus Anual dan Kuartermaster Udara, Sarjan Jacy Wharton Astillero.

Kru kedua pula diketuai juruterbang Mejar Frezal bin Raynol @ Zainal dengan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Syahir Jaafar dan Kuartermaster Udara, PW II Sunerie Sugang.

Operasi berkenaan turut dibantu pegawai dan anggota Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) khususnya dari Batalion 20, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Miri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 5:05 PM