AZRUL Nizam (kiri) bersama Mohd Rozi menunjukkan bungkusan roti yang mempunyai tulisan semangat dari netizen untuk barisan hadapan. (Gambar kanan) Bungkusan roti yang tertulis kata-kata semangat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AZRUL Nizam (kiri) bersama Mohd Rozi menunjukkan bungkusan roti yang mempunyai tulisan semangat dari netizen untuk barisan hadapan. (Gambar kanan) Bungkusan roti yang tertulis kata-kata semangat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG pengusaha kedai bakeri menyediakan 200 bungkusan roti yang diselitkan tulisan kata-kata semangat untuk disumbangkan kepada barisan hadapan yang bertugas di Alor Setar.

Azrul Nizam Azali, 28, dari Kampung Tengah Sungai Yan berkata, dia mengambil semua kata-kata semangat yang ditulis netizen selepas memuat naik status dua hari lalu untuk melakukan satu kelainan sebelum mengagihkan sumbangan itu semalam.

Katanya, walaupun hanya sebungkus roti untuk setiap petugas barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) namun tulisan yang diselitkan cukup bermakna.

“Tujuan saya itu sebenarnya nak mereka tahu seluruh rakyat Malaysia menghargai pengorbanan mereka yang sanggup menghadapi cabaran dalam menjalani tugas dalam menangani Covid-19 ini.

“Saya sangat terharu melihat tugas mereka ketika mengagihkan roti ini malah ada di antara mereka mengambil gambar dan swafoto dengan bungkusan roti yang saya beri, saya amat terharu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam pada itu Azrul Nizam turut menyampaikan sumbangan peribadi roti khas kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin kerana terharu dengan kesungguhan beliau menangani keadaan di bandaraya ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Azrul Nizam berkata, walaupun dia tidak dapat memberi sesuatu yang berharga pada mereka namun pemberian sebungkus roti sudah cukup bermakna baginya.

Katanya, setiap bungkusan roti itu mempunyai pelbagai tulisan yang memberi kata-kata semangat kepada pasukan barisan hadapan.

“Malah ketika memberi roti itu, ada petugas barisan hadapan yang bergurau sayang nak makan roti itu kerana terharu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rozin berkata, pemberian roti itu sangat bermakna untuk barisan hadapan yang bertugas di daerah ini.

Katanya, tulisan di luar bungkusan roti sudah cukup memberi semangat kepada barisan hadapan untuk melakukan tugas masing-masing.

Selain itu beliau turut menghargai sumbangan dari orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup menghulurkan makanan dan minuman walaupun tidak diminta.

“Saya nampak ini satu kerjasama yang baik masyarakat untuk membantu barisan hadapan bagi menangani Covid-19.

“Selain itu, di Alor Setar sendiri saya nampak kepatuhan masyarakat juga sudah ada dan jumlah kenderaan di atas jalan juga sudah berkurangan selain kerjasama semua agensi yang terbabit amat memuaskan hati,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 10:45 AM