AZRUL Nizam (kiri) dan Mohd Shahril menunjukkan kek cawan dan kek gergasi Jalur Gemilang yang dihasilkan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AZRUL Nizam (kiri) dan Mohd Shahril menunjukkan kek cawan dan kek gergasi Jalur Gemilang yang dihasilkan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


DUA pemuda dari Kampung Tengah Kuala Sungai, Yan, bersemangat menghasilkan 2,500 kek cawan disusun menjadi Jalur Gemilang dan sebiji kek besar dengan corak sama yang mengambil masa 15 jam untuk disiapkan.

Azrul Nizam Azali, 25, dan rakannya, Mohd Shahril Rosli, 36, menghasilkan kek cawan itu pada 7 pagi hingga 2 petang Sabtu dan menyambungnya selepas dua jam kemudian dan siap sepenuhnya pada 12 tengah malam.

Katanya, mereka kemudian menghias semua kek berkenaan dan bimbang jika ia dibuat secara sambil lewa, mungkin ia tidak sama dengan corak Jalur Gemilang.

"Walaupun mempunyai pengalaman dalam menghasilkan kek sebelum ini, namun kami gementar kerana bimbang kek yang dihasilkan tak menjadi tetapi Alhamdulillah segala yang diimpikan berhasil.

"Semua kek ini akan dijual hari ini saja dengan harga 60 sen sebiji berbanding harga biasa iaitu RM2 sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-60 tahun ini.

"Kami berdua mahu menyemarakkan semangat patriotik dalam diri selain menunjukkan rasa cinta kepada negara dan dengan itu kami menghasilkan kek Jalur Gemilang ini untuk rakyat Malaysia khususnya penduduk di sekitar Yan," katanya ketika ditemui di rumah mereka, semalam.

Azrul berkata, mereka belanja kira-kira RM1,000 untuk menghasilkan kek itu dan berpuas hati dengan apa yang dilakukan demi untuk menunjukkan rasa cinta pada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 11:56 AM