ANTARA kek durian yang dihasilkan Azrul  yang menggunakan isi dan ulas durian kahwin yang padat dan mendapat sambutan daripada pelanggan di kawasan utara. FOTO/ZULIATY ZULKIFFLI
ANTARA kek durian yang dihasilkan Azrul yang menggunakan isi dan ulas durian kahwin yang padat dan mendapat sambutan daripada pelanggan di kawasan utara. FOTO/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli

MUSIM durian yang meriah tahun ini memberi rezeki tambahan kepada seorang pemuda di Kampung Tengah Sungai Yan di Yan untuk menghasilkan kek durian, yang kini mendapat sambutan luar biasa.

Azrul Nizam Azali, 26, berkata, dia yang menjual kek secara dalam talian tidak menyangka menerima tempahan sehingga 20 ke 30 kek durian setiap hari daripada peminat durian di negeri ini.

Katanya, kek yang menggunakan durian kahwin Gunung Jerai itu sangat laris sehinggakan dia tidak menang tangan untuk melayani tempahan pelanggan.

Menurutnya, kek duriannya dijual antara RM20, RM50 hingga ada yang mencecah ratusan ringgit mengikut saiz.

“Harga bergantung pada permintaan pelanggan, saiz serta penggunaan durian. Durian kahwin agak mahal berbanding durian kampung kerana isinya yang padat dan berwarna kuning.

“Kalau tempahan banyak secara purata dalam saya boleh mendapat untung antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari, sekali gus memberi pulangan modal kepada saya.

“Wang yang diperoleh itu juga dapat digunakan untuk membiayai rawatan ibu yang sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Azrul Nizam berkata, dia membuka tempahan kek durian sejak dua minggu lalu, dan kebanyakan pelanggannya sangat berpuas hati, malah ada yang mengulangi pesanan terutama pelanggan yang ‘hantu durian’.

Katanya, setiap kek yang dihasilkan itu menggunakan 100 peratus isi durian yang dikisar dan diadun bersama campuran tepung dan dihias dengan ulas durian di bahagian atas.

“Ini kali pertama saya menghasilkan kek durian. Ia adalah cetusan idea rakan baik saya, Mohd Shahril Rosli atau Oben Panas dari Kuala Lumpur.

“Selain kek, saya juga menjual durian crepe dan creampuff yang menggunakan isi durian, permintaan pelanggan setakat ini tidak putus terutama di kawasan utara ini,” katanya.

Azrul Nizam berkata, untuk tidak menghampakan pelanggan, dia sanggup menghantar sendiri kek durian itu sehingga ke Alor Setar atau Jitra supaya kek diterima pelanggan dalam keadaan baik dengan mengenakan caj penghantaran bergantung pada lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:13 PM