Ketua Cawangan KPDNHEP Sungai Petani, Mazlan Safar, (kanan) menunjukkan penutup hidung dan mulut yang dirampas dari sebuah klinik kerana dijual dengan harga melebihi harga maksimum. FOTO IHSAN KPDNHEP
Ketua Cawangan KPDNHEP Sungai Petani, Mazlan Safar, (kanan) menunjukkan penutup hidung dan mulut yang dirampas dari sebuah klinik kerana dijual dengan harga melebihi harga maksimum. FOTO IHSAN KPDNHEP
Nor Farhani Che Ad


TINDAKAN doktor sebuah klinik di Bandar Mutiara, Sungai Petani menjual penutup hidung dan mulut pada harga RM2 seunit mengundang padah apabila dia ditahan untuk siasatan, semalam.

Serbuan terbabit dilakukan pada 12.15 tengah hari oleh sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sungai Petani selepas menerima maklumat awam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, pihaknya menyerbu klinik itu selepas orang awam mengadu penutup hidung dan mulut dijual melebihi harga maksimum diwartakan iaitu RM1.50 seunit.

“Hasil serbuan ke atas premis

, kita menemukan sejumlah 44 unit penutup hidung dan mulut tiga lapis untuk dijual kepada pelanggan pada harga RM2 seunit.

“Nilai rampasan bagi kesemua penutup hidung dan mulut yang dirampas dianggarkan RM66,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, doktor berusia 40-an terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP melalui hotline Bilik Gerakan Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 1-800-886-800 atau 04-4205108 atau di laman web http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 10:31 PM