Norena maklumkan tindakan diambil terhadap tiga peniaga yang menaikkan harga melebihi harga ditetapkan.
Norena maklumkan tindakan diambil terhadap tiga peniaga yang menaikkan harga melebihi harga ditetapkan.
Amir Mamat


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Melaka mengesan tiga premis perniagaan yang menjual penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman pada harga tidak munasabah.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, tiga premis termasuk stesen minyak, farmasi dan kedai runcit di sekitar daerah Melaka Tengah dikesan menjual produk berkenaan pada harga melebihi tiga kali ganda seunit.

Katanya, susulan aduan orang awam, sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP negeri melakukan operasi ke tiga premis berkenaan.

"Hasil siasatan itu, kami dapati peniaga terbabit menjual penutup hidung dan mulut pada harga RM1 berbanding 80 sen harga kawalan ditetapkan, manakala harga seunit cecair pembasmi kuman sekitar RM3 dinaikkan mencecah RM15 sebotol.

"Susulan itu, peniaga terbabit diambil tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 dan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Mereka juga boleh dikompaun hingga RM50,000," katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Krubong, Melaka tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Melaka, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Sementara itu, Norena berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan penutup hidung dan mulut di negeri ini masih mencukupi untuk keperluan masyarakat.

Katanya, pihaknya turut dimaklumkan, syarikat pengeluar bekalan itu sudah menggandakan pengeluaran produk itu dan akan diedarkan di pasaran minggu ini.

"Kita memberi jaminan produk terbabit akan tiba di negeri ini dalam tempoh seminggu bagi mengelakkan kekurangan bekalan itu terus berlaku di negeri ini.

"Pada masa sama, KPDNHEP menegaskan kepada peniaga supaya tidak sesuka hati menaikkan harga barangan berkenaan yang sekali gus boleh menjejaskan keperluan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:57 PM