OMAR Ismail (tengah) bersama pegawainya merampas topeng muka yang dijual pada harga berlebihan dalam serbuan di pasar pagi Jalan Teluk Wanjah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
OMAR Ismail (tengah) bersama pegawainya merampas topeng muka yang dijual pada harga berlebihan dalam serbuan di pasar pagi Jalan Teluk Wanjah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN seorang peniaga menjual penutup hidung dan mulut pada harga mencecah RM140 sekotak mengundang padah apabila dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, hari ini.

Dalam serbuan 9.15 pagi di pasar pagi Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, wanita berusia 55 tahun itu mendakwa barangannya itu bukan barangan miliknya.

Bagaimanapun, wanita itu dipercayai menjual penutup berkenaan pada harga antara RM120 hingga RM140 berdasarkan maklumat awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, pihaknya merampas dua kotak dengan setiap satu mengandungi 50 penutup mulut dan hidung yang dijual wanita itu.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati tiada tanda harga diletakkan pada kotak berkenaan.

“Berdasarkan aduan, kami dapati harga yang dijual tidak munasabah kerana harga kawalan bagi penutup mulut dan hidung satu lapisan dijual pada harga RM7 sekotak.

“Manakala, dua lapisan pula dijual pada RM10 sekotak dan tiga lapisan RM40 sekotak sementara penutup n95 pula RM6 sekeping,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kes menjual penutup mulut dan hidung pada harga tidak munasabah dikesan di Kulim, hari ini dan tindakan diambil terhadap peniaga terbabit.

“Sepanjang Januari hingga hari ini, kita menerima 14 aduan berkaitan penutup hidung dan mulut yang dijual dengan harga berlebihan berbanding harga kawalan.

“Setakat ini kita sudah mengambil tindakan terhadap peniaga di Sungai Petani pada 1 Februari lalu, dan dua kes masing-masing di Alor Setar dan Kulim, hari ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 dan Perintah 3 (1) Perintah Kawalan (Penandaan oleh Penjual Runcit 2003).

Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik kerana boleh menyebabkan ada peniaga mengambil kesempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 3:22 PM