GAMBAR hiasan. Orang ramai dinasihatkan mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan Covid-19. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. Orang ramai dinasihatkan mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan Covid-19. FOTO Bernama
Melvin Joni


SATU juta sarung tangan getah perubatan, 5,000 topeng penutup hidung dan mulut serta 300 botol cecair pembasmi kuman akan diagihkan kepada penduduk di Parlimen Puncak Borneo.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Sarawak Willie Mongin berkata, pemberian percuma itu bagi menggalakkan penduduk di kawasan parlimen itu lebih peka dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

“Sumbangan ini adalah berdasarkan ‘case-by-case basis’ dan diberikan kepada setiap keluarga mengikut keperluan sehingga kehabisan stok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, bantuan itu akan disalurkan melalui ketua kampung dan wakil ketua kampung dengan bantuan pihak berkuasa bermula Isnin ini.

“Setakat ini kami masih menunggu pihak logistik mendapat kelulusan pendaratan untuk sarung tangan dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Namun atas dasar keperluan mendesak, pihak kami akan meneruskan agihan cecair pembasmi kuman dan topeng penutup hidung dan mulut terlebih dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 3:19 PM