SABAH Electricity Sdn Bhd memberikan diskaun kepada penggunaan elektrik untuk sektor yang terjejas. FOTO NSTP
SABAH Electricity Sdn Bhd memberikan diskaun kepada penggunaan elektrik untuk sektor yang terjejas. FOTO NSTP
Rafiqah Dahali


SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) memberikan diskaun rangsangan penggunaan elektrik untuk sektor yang terjejas berikutan penularan koronavirus baharu (Covid-19) di Sabah.

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, pemberian diskaun rangsangan itu sebanyak 15 peratus kepada sektor pelancongan bermula 1 April hingga 30 September.

“SESB juga memberikan diskaun dua peratus bagi penggunaan elektrik di sektor komersial, perindustrian, pertanian serta domestik bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Nasser berkata, pengguna boleh membuat bayaran bil elektrik di lokasi pembayaran kios yang beroperasi 24 jam, selain bentuk pembayaran menerusi dalam talian dan ejen kutipan.

“Pembayaran menggunakan mesin kios yang beroperasi 24 jam boleh dilakukan di Wisma SESB dan SESB di daerah Papar, Tuaran, Labuan, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kota Marudu, Keningau dan Beaufort. Pembayaran secara dalam talian dan ejen kutipan juga boleh dilakukan.

“Aktiviti penutupan bekalan yang berjadual dan kerja pemotongan bekalan elektrik untuk akaun pengguna yang tertunggak juga akan dihentikan buat sementara waktu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Bagi pelanggan yang dipotong bekalan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan membuat pembayaran dalam tempoh PKP, bekalan akan disambung semula pada hari yang sama, sekiranya bayaran dibuat sebelum 1 petang.

“Untuk pembayaran yang dibuat selepas 1 petang, penyambungan akan dibuat pada keesokannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 4:43 PM