GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) menyumbang RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah dalam usaha memerangi penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan KKM yang menubuhkan Corporate Malaysia Against Covid-19 Action Coalition baru-baru ini.

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, SESB sebagai anak syarikat TNB turut sama dalam usaha ini dengan memberi sumbangan RM1 juta.

Katanya, sokongan itu juga adalah sebahagian inisiatif membantu memerangi pandemik Covid-19 yang semakin menular di Malaysia, khususnya di Sabah.

“Hari demi hari, kita dikhabarkan dengan berita yang sungguh menyedihkan apabila angka rakyat Malaysia yang positif Covid-19 semakin meningkat.

“SESB memahami kepentingan awam dalam memastikan ‘sumber’ hospital kerajaan sentiasa mencukupi untuk menangani jumlah peningkatan pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, diharapkan dengan sumbangan itu dapat membantu mengurangkan beban pembelian peralatan perubatan dan kesihatan yang diperlukan KKM untuk memerangi wabak Covid-19 ini.

“Usaha memerangi Covid-19 adalah usaha kita bersama dan ini adalah masa yang kritikal untuk kita sama-sama tampil membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:51 PM