WAKIL Persatuan Kasih Sayang 'Ai Xin' Malaysia menyerahkan sumbang topeng hidung dan mulut serta pembasmi kuman kepada orang ramai. FOTO Hazri A Bakar
WAKIL Persatuan Kasih Sayang 'Ai Xin' Malaysia menyerahkan sumbang topeng hidung dan mulut serta pembasmi kuman kepada orang ramai. FOTO Hazri A Bakar
Hazri A Bakar


SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif mengedar topeng hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman kepada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kurang berkemampuan di sekitar Kulai dan Senai.

Persatuan Kebajikan Kasih Sayang 'Ai Xin' Malaysia (Persatuan Aixin) mengedar keperluan itu kepada lebih 200 keluarga sejak dua minggu lalu dan berakhir semalam.

Pengerusinya, Datin Fam Yun Nee berkata, inisiatif membekalkan keperluan itu dilakukan memandangkan golongan berkenaan tidak berkemampuan untuk keluar dari rumah bagi mendapatkannya.

"Ada yang mengadu apabila tiba di farmasi, keperluan itu sudah kehabisan stok dan ini merumitkan keadaan mereka terutama golongan warga emas yang dianggap kumpulan berisiko.

"Penerima adalah golongan yang sememangnya sudah dibantu persatuan kami selama ini dalam memastikan mereka tidak terpinggir apatah lagi ketika negara berdepan dengan krisis wabak berbahaya ini," katanya kepada Harian Metro.

Yun Nee berkata, langkah itu adalah sebagai sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 ini.

Menurutnya, pengasas persatuan, Datuk Fam Chee Way meminta pengedaran keperluan itu dilakukan segera sebaik wabak Covid-19 dikesan di negara ini dan pihaknya mendapatkan bekalan dari luar negara.

"Kita tak mahu mengganggu bekalan domestik dan dengan kos kira-kira RM10, 000 kami mendapatkannya dari luar negara. Setiap keluarga yang dibantu dibekalkan dengan topeng hidung dan mulut serta pembasmi kuman yang boleh bertahan sehingga April.

"Kami juga mengedar risalah panduan penjagaan kebersihan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan terutama kepada warga emas yang berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 10:16 AM